Arkib.

Assalamualaikum wbt.

Hampir lupa akan wujudnya blog di Friendster dahulu, hari ini aku bercadang untuk memadamkannya. Merapu-rapu sungguh aku dahulu, astaghfirullah.. Sebelum itu, aku simpan di sini 3 pos favorite. Agar isinya kekal dalam ingatan:)

Apa pemimpin lewat ini selesa berkampuhkan wang haram? 5 September 2006

Ahad lepas saya berpeluang membaca buah fikiran Syed Hussein Alatas. Seorang cerdik pandai Melayu yang saya kira punya ramuan yang cukup untuk menghasilkan apa yang dikatakan keterampilan. Beliau pada saya menyinar dalam zaman ketandusan intelektual Melayu kini. Maksud saya intelektual yang unik ketokohannya.

Berbalik kepada pokok perbualannya. Puas digembar posisi Malaysia dalam indeks rasuah sedunia. Sekadar menduduki tangga ke 29 walhal Malaysia punya satu imej yang cukup sinonim dengan negara Islam yang tuntas kemajuannya. Ironinya, kedudukan teratas dipelopori negara-negara bukan Islam. Dan yang apa yang paling disugulkan, kedudukan 10 tercorot pula yang dibanjiri negara-negara Islam. Terang, isu rasuah bukan lagi satu waham yang kabur. Seakan-akan sudah ada pertautan dengan kepimpinan rata-rata negara Islam kini.

Lihat saja Malaysia, lewat ini bilang saja berapa ahli politik tersungkur gara-gara rasuah. Kata Syed Hussein Alatas, satu perkara yang jelas pada kepimpinan sekarang ialah “peluk pangkat macam hendak mati”. Bukan seperti pemimpin Indonesia dahulu, asyhadu mereka tentang ketulusan politik begitu telus. Dan apa yang diistikhrarkan, diperjuang sehabis mampu, sehingga rata-rata mereka (Burhanuddin Harahap, Muhammad Natsir dan ramai lagi) disingkirkan oleh Sukarno. Ini yang dinamakan syahid politik. Politik yang bermaruah.

Apa pemimpin lewat ini begitu selesa hidup berkampuhkan wang haram? Suap anak dengan duit yang tidak halal kemudian mengharapkan anak itu besar sempurna akhlaknya dan pandai. Apa yang menyulitkan lagi pemimpin-pemimpin ini bukannya jahil, malah cerdik pandai terpelajar. Analogi Syed Hussein Alatas ; ikan yang berkepala busuk. Namun takkan mahu dibiarkan saja busuk itu menular ke badan dan berkulat berbau, tapi takkan mahu dipisahkan kepala dan badan? Mana mungkin?

Jelas, kalau pemimpin-pemimpin kini mengambil iktibar ketokohan Saidina Ali (ketika ada keraian, Saidina Ali cuma makan apa yang dijamah rakyat jelata, jauh sekali menyadap makanan pembesar. Katanya, selagi rakyat jamah begini, begini juga dia) tiada yang sanggup mengambil rasuah, yang juga satu bentuk penindasan. Pada hemah saya, mengasingkan agama dan kerjaya politik juga punca yang nyata. Tetapi janganlah digusarkan perihal indeks itu, kata Syed Hussein Alatas, itu hanya dari kaca mata bisnes. Kalau indeksnya naik ke 15, nanti turun ke 3, kemudian apa?

_____________________________________________

Semut Merah. 17 November 2006

Seekor semut menjengah keluar kepala merahnya yang bulat berbintik hitam. Ia toleh ke kiri, pusing ke kanan. Kemudian ia langut ke atas, berkira-kira. Mata kecil itu terkedip-kedip sambil otak halusnya membuat andaian. Andaian. Semut sendiri sedar ia bakal merentasi denai berpandukan peta kemungkinan. Tapi, biarlah. Kalau sesat langkahnya nanti, mana mungkin sang singa terbangun. Kalau bergema derapnya, tak mengapa. Biar satu hutan terjaga. Biar si murai becok menjual cerita. Biar sang merak bongkak itu kuncup bulu kipasnya, segan mahu mendabik sini sana. Terdekih-dekih, lantas menganjakkan kaki-kakinya satu persatu ke tanah, keluar dari lohong itu. Yakin sekali.

“Hujan mana mungkin turun lagi. Tuntas benar tadi, kalau ya pun pasti cuma renyai-renyai. Sudah tentu ada saja daun atau celah batu buat tempat berlindung. Kalau bah, cari saja daun buat rakit, relaikan saja kulit kayu buat dayung,”
Maka, keluarlah semut dari kepompong butil-butil pasir halus itu, suatu juzuk dari jutaan yang terdapat pada garapan muka alamnya. Meninggalkan kosmopolitannya pergi. Sementara cuma.

Sang semut pun terus mengorak langkahnya, dalam rangkak. Terukir senyuman girang pada kepala bulat itu. Masih teruja.

Lalang meliuk mengibas badan kerdilnya ke kiri ke kanan. Semut teguhkan juga, maju ke depan. Rabas dari corong daunan menitik, rebah kepalanya tersembam ke bumi. Semut bangun semula.

Tak lama itu, sang semut terjumpa akan pamannya dari kerabat kerengga. Paman tersesat. Sang semut tunjuk haluan buat paman. Paman memuji-muji anak buahnya itu. Hebat. Semut girang sekali, lalu langkahnya diatur pantas lagi, sambil menyanyi. Kemudian, terserempak pula akan emangnya dari kerabat semut hitam. Langgam semut, bila berselisih, perlu bertegur sapa. Semut membuka bicara. Emang kagum akan cita-cita semut dan kembaranya. Semut lebih girang kali ini, nyanyiannya dikuatkan lagi seiring rentak langkahnya, hingga sumbang.

Semut terus-terusan menyanyi girang, lantang sekali. Derapnya sudah sampai ke sebuah lembah gersang. Mentari pula bagaikan memanggang setiap isi yang terkandung antara bumi dan anjung langit. Semut toleh jauh ke belakang. Mana tadi denainya? Semut lontarkan pandangan ke hadapan, mana pula tempat tiba? Gelisah.

Langkahnya jeda di situ. Gamam, lumpuhkan pemikirannya. Tiba-tiba guruh berdentum. Gerimis. Angin deras. Semut kaget. Awan makin hitam. Semut pusing sekeliling. Mana batunya? Daun? Kulit kayu? Kepala bulat itu berkerut. Benak halus itu kusut. Sebentar lagi bah.

_________________________________________

Walang. 7 September 2006

Hari ini saya kecewa lagi. Lambat lagi. Makin lambat jadinya. Saya kerapkali terfikir apa akan canggung saya bila menulis nanti? Haha. Sampai begitu sekali. Benar. Memang sudah jadi langgam resam jeda saya, tak semua yang dirancang jadi terbentang. Sewajarnya hujan lebat jadi lopak tapi lopak tak ada, cuma recik-recik saja. Begitulah jeda saya.

Kalut-kalut saya ini bukan kerana tak sabar-sabar melihat negara orang. Bukan. Saya fikir 5 tahun duduk di sana pasti akan buat saya cemus juga. Tapi saya kira selagi saya langgas begini, payah mau lihat hasilnya. Lainlah kalau saya duduk di rumah daras kitab tiap saat. Masakan.

Langkat mungkin hari terakhir saya bekerja. Seolah-olah benak saya sendiri berbalah. Kalau berhenti, pasti makin tak terisi. Kalau kerja, saya ibarat mesin menanda. Tak bercakap. Tanda dan tanda. Pandang anak-anak kecil membaca sifir dan flash card, comel tapi tak boleh buat apa. Sampaikan saya selalu berharap ada orang datang bertanya supaya suara boleh keluar dari rengkung. Hinggakan saya selalu berharap budak-budak nakal 4 beradik itu datang hari-hari dan pemandunya lewat ambil, biar jadi bingit. Boleh bikin saya ketawa. Mata pula asyik menyilau mengerling jam dinding. Sampaikan saya congak berapa peratus lagi masa kerja yang tinggal, hampir setiap 10 minit. Haha. Sungguh.

Saya sendiri malu pada mak ayah beritahu mahu berhenti awal seminggu, dulu saya yang sungguh-sungguh mahu kerja. Saya tak suka mengalah begini. Ego saya sendiri juga tercabar, rasa semacam ditarah-tarah. Tapi guru mulut terkunci ini memang tak masuk dengan saya.

Tapi, bila saya menungkan kembali, banyak juga manfaatnya. “Multitasking” yang saya sendiri tak pernah terlintas-5 kerja pada satu masa. Haha. Dan sudah 2 kali bermajikan orang bukan Islam. Bukannya mereka tak faham tuntutan agama kita, cuma kita perlu suarakan. Sedih juga ada rakan sejawat yang bertudung lengkap, tapi tak solat bila kerja. Apa ini sekularisme kendiri? Duduk di negara yang mendaulatkan Islam tapi masih takut meminta 10 minit untuk sembahyang. Pergi tandas berulang kali berani pula. Memang sukar sedikit mahu solat di tempat begitu, saya solat berdekatan meja yang mungkin bawah tudung sajinya ada hidangan khinzir dan tak jauh dari itu; tandas. Tapi Islam itu mudah kan? Saya juga sedar ada anak-anak kecil naif bukan Islam terkejut keluar tandas terlihat semacam pocong menghadap kiblat. Terpaksa saya keluar lepas itu dan perjelas, “Tadi tu teacher lah. Teacher semayang tapi teacher tak pakai buah oren, teacher semayang lain sikit”. Haha. Comel anak-anak ini.

Wallahu’alam

Advertisements

7 responses to this post.

  1. hai kak hamster.. goodluck exam esok!

    akak…sy kecewa kak..rasa mcm agk sukar utk mencapai target kali ni.. tension2 ni masak laksa lah..( rumah akak jauh la..xdpt nk ajak dtg mkn..hehe)

    Reply

  2. Posted by hamstermenulis on January 15, 2009 at 2:41 am

    apa….laksa?? haish. kalau tau, cek tak pindah dari no 4 dulu. ni sebenarnya nak perabih daun kesum ke apa ni? asyik masak laksa je.

    hehe. terima kasih wish

    jangan give up, perjuangan belum selesai, ada lagi kan written? cuba yang terbaik, insyaAllah Allah swt tolong punyalah. pejuang Islam tak buleh mengalah tau:)

    Reply

  3. lebey kurang la..ada byk pulak lagi daun kesum..nk buat lg satu batch pun boleh lg ni..

    lagipun..memasak is one of my coping mechanism la..habis paper NS..melepaskan segala yang terbuku melalui ‘memasak’..release stress wooo..

    yg part plg best..bile mkn la..hehe

    doakan sy akak..xmau result lekeh2 jer..konon nk berjuang..tp akademik hancuss..ape cite~ huhu

    p/s: another stress coping mechanism or self-rewarding mechanism sy ialah— shopping! habis exam cabut lari g belfast, iA..hehe

    Reply

  4. akak..bila sy bca entry walang ngn semut akak tue..kenapa sy mcm tak fhm eh? seakan menggunakan bahasa yg tidak kufahami? adakah bahasa Melayu ku kian terhakis walau setahun bermastautin di bumi Dublin?

    serius..byk btul frasa yg tak difahami. ( kagum dgn skill bahasa sastera akak..haha)

    Reply

  5. Posted by hamstermenulis on January 16, 2009 at 11:30 pm

    huhu. syukran2. tu entri masa cuti kat rumah. banyak baca kamus dewan. (akak memang suka baca kamus kalau awak nak tau) huhu. tapi takdalah hebat, belajar2 lagi. bila akak baca balik pun, ada ja phrase akak sudah lupa maksud sebenarnya.

    coping mechanism? shopping? retail therapy lah ni ye. nanti bising kat akak saving sikit lah apa lah. hehe.

    insyaAllah, kita doakan agar kita semua berjaya flying colours!:)

    Reply

  6. Posted by hamstermenulis on January 17, 2009 at 12:29 am

    ooo lupa, semut tu dalam maknanya tau. cuba fikir betul-betul. hehe

    Reply

  7. Posted by akubudakkampung on January 17, 2009 at 2:16 pm

    mekasih link video tuh..
    menarik2..hihi

    sungguh melankolik bahasa semut tuh..sy pon xberapa faham..
    ^^,

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: